Posted by: khalednordin | July 27, 2009

Now moving to khalednordin.com

Saudara-saudari pembaca yang dihormati,

Sukacita dimaklumkan mengenai perubahan alamat laman blog peribadi saya ke alamat baru khalednordin.com

Harap semua dapat memanfaatkan laman blog tersebut. Terima kasih.

Khaled Nordin

Posted by: khalednordin | July 6, 2009

Sekitar lawatan ke Paris

July_6th,_2009_-_Paris_081

Pada pagi Ahad, saya telah selamat sampai di Paris untuk memulakan lawatan rasmi selama 4 hari di sini.  Lawatan ini adalah sempena menghadiri persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh UNESCO iaitu “2009 World Conference on Higher Education: The New Dynamics of Higher Education and Research for Societal Change and Development”.  Delegasi Malaysia pada kali ini turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Y.Bhg Datuk Dr Zulkefli A. Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Y.Bhg Prof Dato’ Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Y.Bhg Dato’ Dr Syed Ahmad Hussein; dan juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM).

Persidangan kali ini telah berjaya mengumpulkan lebih 700 delegasi dari negara-negara ahli UNESCO, termasuk 60 Menteri yang bertanggungjawab terhadap pelajaran dan pengajian tinggi negara-negara terlibat.  Delegasi dan perwakilan negara-negara tersebut adalah terdiri daripada kepimpinan kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi dan civil society.  Isu serta perbincangan dalam persidangan kali ini juga merangkumi pelbagai aspek, fokus serta penumpuan dalam usaha untuk memastikan peranan dan tanggungjawab pendidikan adalah untuk terus membawa perubahan kepada dunia sejagat, selain sebagai jalan penyelesaian kepada isu global pada masa kini.   

Dalam ucapan pembukaan Ketua Pengarah UNESCO, Mr Koichiro Matsuura beliau telah menggariskan 4 kedinamikan yang berlaku dalam dunia pengajian tinggi pada hari ini.  Ianya termasuk:

  1. Mempercepat permintaan terhadap pengajian tinggi (Accelerating demand for higher education);
  2. Kepelbagaian sumber (Diversification of resources);
  3. Penggunaan serta aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam semua aspek pendidikan; dan
  4. Globalisasi.

Saya berpendapat bahawa keempat-empat aspek kedinamikan di atas adalah saling berkait rapat dan memerlukan perhatian segera oleh semua pihak terlibat.  Malaysia juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan kedinamikan dan senario pengajian tinggi yang sedang melanda pada masa kini.  Oleh yang demikian, hasil daripada persidangan kali ini antara lain diharap akan menjadi rujukan dan inspirasi berguna kepada Malaysia untuk sama-sama diaplikasi dan diadaptasi dalam sektor pengajian negara.

Diharapkan juga persidangan penting pada kali ini bukan sahaja mampu mengukur tahap keberkesanan negara-negara terlibat dalam pelaksanaan dasar dan polisi pendidikan negara masing-masing, malah persidangan ini juga diharap dapat menentukan serta mengukur tahap kesediaan, kemampuan negara-negara tersebut untuk menghadapi kedinamikan dan cabaran yang sedang dihadapi dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi pada masa ini.

Posted by: khalednordin | June 29, 2009

Terima kasih PM!

Petang Ahad semalam merupakan saat yang paling bermakna kepada pelajar-pelajar UiTM Shah Alam.  Y.A.B Perdana Menteri diiringi isteri telah sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan ribuan pelajar yang baru sahaja beberapa hari mendaftar ke UiTM dalam aktiviti senam seni, sempena Minggu Mesra Siswa mereka.

Kesudian Y.A.B Perdana Menteri dan isteri untuk meluangkan masa serta beramah mesra dengan para pelajar tersebut adalah bukti keprihatinan dan komitmen peribadi beliau.  Selain turut sama menyertai aktiviti riadah pada petang itu, beliau juga berkesempatan minum petang di kediaman siswa -Kolej Perindu; sambil berbual dan berinteraksi bersama mereka.  Beliau juga sempat bertanya dan mendapatkan pandangan daripada anak-anak muda UiTM mengenai kehidupan di universiti serta harapan dan hasrat mereka terhadap kepimpinan negara.  Selain itu, beliau dan isteri turut menyampaikan amanat dan nasihat peribadi mereka kepada para pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa menerapkan budaya kecemerlangan dalam pengajian mereka untuk memastikan kejayaan gemilang pada masa hadapan.

Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan saya sekali ucapkan kepada Y.A.B Perdana Menteri dan isteri atas kesempatan dan kesudian masa yang telah diluangkan.  Semoga lawatan petang semalam akan menjadi pemangkin bagi para pelajar untuk terus bersungguh-sungguh dalam pengajian mereka.

Posted by: khalednordin | June 26, 2009

2nd Annual National Higher Education Conference 2009

2nd Annual National Higher Education Conference 2009 yang bermula semalam dan akan berakhir pada hari ini membincangkan mengenai pelbagai isu semasa serta cabaran mendatang yang berlaku dalam sektor pengajian tinggi negara pada masa ini.  Bertempat di Berjaya Times Square Hotel & Convention Centre Kuala Lumpur, persidangan kali ini meliputi pelbagai topik serta fokus perbincangan termasuk:

  • pembinaan perhubungan jalinan kolaboratif dalam pengajian tinggi;
  • peningkatan usaha pengantarabangsaan;
  • perbincangan mengenai kesan serta implikasi situasi ekonomi global terhadap pengajian tinggi negara; serta
  • isu-isu berkaitan hubungan strategik antara industri dan akademia.

Dengan tema ‘Developing Higher Education as a Key Catalyst to Malaysia’s Competitiveness’, saya dijemput oleh penganjur untuk menyampaikan ucaptama sempena persidangan tersebut.  Alhamdullilah, pada pagi Khamis semalam saya sempat meluangkan masa untuk bersama-sama para perserta persidangan yang hadir, bagi berkongsi idea serta pandangan saya dengan mereka mengenai tema persidangan kali ini.  Terima kasih kepada pihak penganjur (Asia Executive Programs) kerana sudi menjemput saya ke persidangan yang saya rasakan sangat besar dan bermanfaat ini juga.

Pendidikan tidak dapat dinafikan merupakan antara agen tranformasi utama dalam membentuk sebuah acuan ideal, bagi sesebuah negara menentukan nasib dan membawa hala tuju rakyat serta bangsanya.  Oleh yang demikian, saya merasakan pendekatan, pelaksanaan perancangan dan pembangunan bidang pendidikan menjadi satu agenda penumpuaan yang sangat penting, selain menuntut komitmen yang jitu dan juga bersungguh-sungguh daripada semua untuk direalisasikan matlamatnya.  Ini kerana implikasi, manfaat serta kebaikannya amatlah besar dan kelak akan menguntungkan rakyat dan bangsa sesebuah negara itu sendiri untuk dinikmati.

Saya turut berpandangan bahawa pendidikan selain menjadi agen transformasi, juga merupakan penyebab kepada perkembangan sektor-sektor lain, berdasarkan kepada kehendak serta keperluan ekonomi yang berasaskan pengetahuan pada masa kini.  Seseorang individu; pada masa yang sama berfungsi sebagai modal insan kepada sesebuah negara, memerlukan pengetahuan sebagai asas untuk membolehkan mereka menyumbang kepada aktiviti ekonomi negara tersebut.  Modal insan yang berkualiti yang turut dilengkapi dengan ciri-ciri kritikal seperti inovasi, kreativiti dan nilai-nilai tinggi lain secara langsung sebenarnya menyumbang kepada peningkatan daya saing ekonomi (competitiveness) negara itu.

Berdasarkan kepada faktor-faktor inilah pendidikan; yang mana pengajian tinggi merupakan sebahagian daripada pendidikan secara keseluruhan, berpotensi untuk menyumbang kepada peningkatan daya saing sesebuah negara.  Institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sahaja perlu melahirkan graduan yang berdaya saing tinggi serta mempunyai ciri-ciri ideal seorang graduan malah turut berperanan untuk menghasilkan produk komersil serta hasil kajian yang mampu memesatkan lagi aktiviti ekonomi negara.  Usaha seperti inilah yang perlu terus dipergiat malah dipertingkat dari semasa ke semasa agar daya saing ekonomi negara akan terus seiring dengan ekonomi negara-negara lain.

Sehubungan dengan itu, saya harus akui bahawa komitmen serta kesungguhan kerajaan amatlah serius dalam menjayakan usaha membentuk sistem pengajian tinggi terbaik untuk negara.  Ini dapat dibuktikan melalui peruntukan besar yang disalurkan (RM 14.1 billion sahaja untuk tahun 2009); bagi membolehkan segala usaha perancangan dan pelaksanaannya membuahkan hasil, seperti yang diharapkan.  Bersesuaian dengan model ekonomi baru yang sedang dirangka oleh pihak Kerajaan juga, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sendiri mempunyai peranan unik dalam memastikan keberkesanan pelaksanaannya, baik dalam bidang pengajian tinggi mahupun dalam merealisasikan agenda pembangunan modal insan negara.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Asia Executive Programs kerana menganjurkan persidangan pada kali ini dengan jayanya.  Saya sifatkan ianya sebagai sumbangan serta peranan yang dimainkan oleh pihak luar dalam sama-sama menjayakan agenda pembangunan sektor pengajian tinggi negara.  Semoga matlamat serta objektif penganjurannya akan turut tercapai.

Posted by: khalednordin | June 24, 2009

Mathematics, Mathematics Education and Mathematicians

Pagi Selasa semalam saya berkesempatan hadir ke PWTC untuk merasmikan 5th Asian Mathematical Conference 2009.  Persidangan yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Sains Matematik Malaysia (Malaysian Mathematical Sciences Society), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Matematik Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berjaya menarik para penyelidik dan ahli matematik dari negara-negara Asia untuk sama-sama berkumpul di bawah satu platform di Malaysia, bersempena dengan persidangan yang julung-julung kali diadakan di negara kita.  Saya pasti persidangan kali ini akan sekali lagi menjadi medan terbaik untuk para mathematician serantau untuk membina jalinan kolaboratif serta mengukuhkan hubungan sedia ada antara mereka, dalam mencari formula, penemuan serta penyelesaian terbaru mengikut kehendak dan keperluan kepakaran terkini, khusus dalam bidang Matematik.

Semua sedar dan tidak dapat menafikan akan kepentingan, sumbangan serta peranan penting yang telah dimainkan oleh bidang Matematik selama ini.  Matematik sebagai sebuah subjek teras dalam kehidupan telah membolehkan pelbagai ciptaan, penemuan teknologi, pembaharuan aplikasi dan inovasi, yang membantu memudahkan lagi kehidupan seharian manusia.  Namun demikian saya berpendapat, masih ada beberapa cabaran dan halangan yang memerlukan perhatian semua.  Pertamanya dalam pendidikan Matematik, adalah menjadi satu cabaran untuk menjadikan subjek ini sebagai sebuah subjek yang menarik untuk dipelajari, baik di semua peringkat pengajian.  Ini kerana kemahiran, pengetahuan serta manfaat yang diperolehi daripada mempelajari subjek Matematik menjadi asas untuk seseorang itu menguasai beberapa subjek lain termasuk Sains dan sebagainya.  Tahap penguasaan (competency) dalam Matematik akan menjadi lebih kritikal apabila seseorang itu melanjutkan pengajian dalam bidang yang memerlukan asas kemahiran dan pengetahuan Matematik sebagai pra-syarat seperti jurusan ekonomi, statistik, kejuruteraan dan lain-lain.

Selain daripada itu, berdasarkan kepada keperluan serta kehendak teknologi yang semakin merumitkan (complicated), dunia atau lebih khusus industri sentiasa memerlukan pakar aplikasi sains matematik untuk memenuhi keperluan mendesak tersebut.  Oleh itu, keperluan kepada graduan yang pakar dalam bidang ini adalah dirasakan sangat penting, selain ianya merupakan salah satu cabaran kepada pihak universiti untuk dilaksanakan.  Saya menyarankan agar pendekatan yang lebih proaktif dapat sama-sama difikirkan untuk menghadapi situasi dan cabaran ini.

Semoga persidangan yang sedang berlangsung pada kali ini akan mencapai matlamat serta objektif penganjurannya.  Ucapan tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan penganjuran kali kelima Asian Mathematical Conference di Malaysia pada tahun ini adalah yang terbaik pernah dianjurkan.

Posted by: khalednordin | June 22, 2009

14th International Conference on Thinking (ICoT) 2009

Pada pagi Isnin saya telah memenuhi jemputan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi merasmikan International Conference on Thinking (ICOT) 2009, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).  Sebagai makluman, UPM telah memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan pemikir buat kali ke-14 ini, yang mana saya berpendapat ianya merupakan satu pengiktirafan kepada kemampuan serta keupayaan IPT tempatan untuk menganjurkan persidangan berprestij seperti ini.  Tahniah saya ucapkan kepada UPM serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan segala perancangan dan perjalanan persidangan ini akan berjalan dengan lancar dan teratur. 

International Conference on Thinking pada kali ini bukan sahaja telah berjaya menarik tokoh-tokoh pemikir terbilang seperti Dr Edward de Bono, Tony Buzan, Howard Garder dan juga Tun Dr Mahathir; malah apa yang lebih penting adalah ianya merupakan arena terbaik untuk mengumpulkan para pemikir, intelektual, dan para pemimpin organisasi dari seluruh dunia.  Apa yang unik dan menjadi daya tarikan utama kepada persidangan ini adalah teras serta penumpuaan terhadap elemen inovasi dan advancement dalam pemikiran, yang sememangnya dirasakan begitu kritikal dan mendesak pada zaman ini.  Topik serta fokus perbincangan juga tidak terhad kepada sesuatu disiplin malah meliputi bidang pendidikan; sains kesihatan; keamanan dan politik; media dan hiburan; perniagaan dan industri; kepimpinan dan pengurusan; serta kebudayaan dan humaniti.  Saya secara peribadi juga amat menggalakan penglibatan Naib-naib Canselor dan kepimpinan IPT tempatan untuk sama-sama menimba seberapa banyak manfaat dan pengetahuan berguna sepanjang persidangan ini berlangsung.

Saya ingin turut mengucapkan selamat bersidang kepada semua peserta persidangan pada kali ini.  Semoga pengetahuan dan pengajaran pengalaman yang telah dan bakal diperolehi sedikit sebanyak membantu untuk kita bergerak lebih maju ke hadapan.  Maklumat lanjut mengenai persidangan juga boleh didapati di http://www.14ththinkingconference.com

Posted by: khalednordin | June 21, 2009

Tahniah kepada semua yang berjaya

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya mendapatkan tempat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di IPTA seluruh negara.  Kejayaan melanjutkan pengajian ke menara gading merupakan antara impian para pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan, dalam proses merealisasikan impian dan cita-cita hidup masing-masing.  Sudah tentu kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih tanpa rasa jemu anda semua, dalam mencapai kejayaan dan kecemerlangan semasa di peringkat sekolah.  Kejayaan anda semua juga semestinya merupakan kebanggaan ibu-bapa dan keluarga yang selama ini telah menjadi pendorong utama untuk anda terus melakar kejayaan pada masa akan datang.

Kementerian Pengajian Tinggi sememangnya mengalu-alukan kedatangan saudara-saudari untuk melanjutkan pengajian di universiti seluruh negara bermula penghujung bulan ini.  Adalah menjadi komitmen dan kesungguhan pihak Kementerian dan universiti pilihan anda untuk memberikan pendidikan yang berkualiti, menyediakan persekitaran kampus yang kondusif untuk para pelajar menuntut ilmu, serta ruang dan peluang untuk anda semua menimba pengalaman dalam usaha membangunkan lagi diri sebagai seorang individu terpelajar.  Sudah pastinya semua, termasuk saya sendiri mahu melihat graduan atau produk yang lahir dari sesebuah universiti itu merupakan seorang individu yang bukan sahaja cukup dengan ilmu dan pengalaman, malah turut dilengkapi dengan sifat keperibadian yang murni serta ciri-ciri ideal seorang graduan.  Sudah semestinya harapan dan hasrat anda semua, termasuk ibu bapa serta keluarga akan menjadi agenda keutamaan universiti dan pihak Kementerian sendiri.

Sememangnya adalah menjadi hasrat saya kepada mereka yang berjaya untuk sentiasa bersungguh-sungguh, menanam iltizam dan keazaman yang tinggi untuk terus berjaya dalam mengejar cita-cita dan impian masing-masing.  Manfaatkan peluang dan ruang yang telah tersedia di IPTA kelak dengan sebaik mungkin bagi mencipta kejayaan yang akan menjadi kebanggaan diri dan keluarga, insyaAllah.

Posted by: khalednordin | June 5, 2009

Dunia Iktiraf Mutu Universiti Malaysia

Oleh:  Prof Dato’ Dr Ir Zaini Ujang (Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia)

ACARA lawatan rasmi Menteri Pengajian Tinggi, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin ke Arab Saudi dan Yaman bermula Khamis minggu lalu menyerlahkan lagi imej Malaysia pada mata masyarakat Asia Barat. Selain acara padat termasuk kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Yaman, sesi perbincangan dua hala dengan beberapa Menteri Kabinet dan pemimpin akademik, Khaled dan rombongan turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembabitan serta komitmen universiti Malaysia pada tahap membanggakan.

Antara lain Khaled merasmikan cawangan Universiti Antarabangsa Teknologi Twintech di Sana’a, Yaman yang sudah memulakan program akademik sejak empat bulan lalu. Selain itu, Khaled turut mengunjungi Universiti Sains dan Teknologi Yaman yang menyediakan program akademik membabitkan 16 pensyarah dari Malaysia.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula secara rasmi menandatangani perjanjian menjalankan penyelidikan bersama Universiti Taibah, Madinah untuk menyelesaikan masalah peningkatan air bawah tanah di sekitar Masjid Nabawi.

Di Arab Saudi, tumpuan ialah kerjasama program penyelidikan dan pengajian ijazah lanjutan. Selain itu, UTM turut menandatangani perjanjian menempatkan pensyarah cuti sabatikal untuk membantu membangunkan program akademik di Universiti King Abdul Aziz kampus baru di Rabigh, selain bekerjasama dengan Universiti Taibah menjalankan sembilan penyelidikan dalam bidang bioteknologi, teknologi maklumat dan teknologi nano.

Pembabitan Malaysia di Yaman pula bertumpu kepada kerjasama membangunkan keupayaan bidang pendidikan teknikal dan kerjasama akademik pelbagai peringkat. Ketika berucap menerima kunjungan hormat dari Malaysia, Perdana Menteri Yaman, menyatakan pengiktirafan negaranya kepada Malaysia sebagai negara model di kalangan negara Islam yang membangun tanpa menyisihkan budaya rakyat terutama ajaran agama dan budaya bangsa.

Lawatan itu berjaya memberi lebih ruang kepada Malaysia untuk menawarkan kepakaran dalam bidang akademik kepada negara yang memerlukan. Ketika berbincang dengan beberapa orang Naib Canselor atau Rektor negara itu, saya dapat memahami betapa selama ini mereka hanya menumpu ke Barat untuk kemajuan akademik.
Hakikatnya walaupun hampir 30 tahun dasar menghantar pelajar dan bekerjasama dengan universiti terpilih khususnya di Amerika Syarikat dan Britain, hasilnya tidaklah memberangsangkan. Malah, mereka masih mengalami kesukaran untuk membentuk kerangka dan model sesuai dengan unsur tempatan dari segi pembangunan negara dan perkembangan akademik.

Inilah kelebihan Malaysia. Sebagai negara pesat membangun, Malaysia sebenarnya tidak jauh ketinggalan dalam bidang akademik berbanding negara maju. Hal ini diakui sendiri Naib Rektor Universiti Taibah, Profesor Talal Helawani pada sidang media ketika rangka lawatan ke beberapa makmal termaju di UTM pada Februari lalu.

Hal ini perlu diambil perhatian kerana beliau mempunyai pengalaman luas sesuai dengan peranannya sebagai ahli panel majlis penyelidikan strategik Arab Saudi yang mengadakan kerjasama dan terbiasa dengan kebanyakan universiti ternama dunia. Itulah juga antara faktor UTM dipilih bekerjasama dengan universiti Arab Saudi, selain puluhan universiti ternama dunia khususnya dari Amerika Syarikat.

Saya menyebutkan hal ini kerana sejak kebelakangan ini wujud semacam keresahan beberapa pihak terhadap keupayaan universiti tempatan. Hal ini mungkin ada kaitan dengan kedudukan universiti tempatan dalam ranking dunia dan keluhan segelintir pihak terhadap kemahiran insaniah di kalangan graduan tempatan.
Saya tidak berhasrat bersikap defensif apatah lagi apologetik. Namun, sentimen keresahan dan kurang yakin itu banyak dipengaruhi tanggapan umum kurang adil yang perlu diperjelaskan. Barangkali penjelasan ini bukan secara lisan apatah lagi menyalahkan kaedah sistem ranking. Hemat saya penjelasan itu perlu dilakukan menerusi hebahan perkembangan semasa dan program praktikal seperti dilakukan Khaled dan rombongan di Arab Saudi dan Yaman.

Mahu tidak mahu, kita perlu akur bahawa universiti kita sudah menjadi alternatif kepada universiti berjenama di negara Barat di kalangan negara membangun. Ramai ibu bapa mula menaruh minat untuk menghantar anak belajar di Malaysia.

Selepas ke Arab Saudi dan Yaman, saya dan rombongan ke Turki untuk menandatangani perjanjian pertukaran staf dan program penyelidikan dengan tiga universiti termasuk yang tertua di Asia Barat, iaitu Universiti Istanbul dan Universiti Teknikal Istanbul serta Universiti Fatih.

Kesediaan mereka bekerjasama dengan Malaysia tidak lain kerana mutu pengajian di universiti tempatan setanding dengan negara maju. Ini diakui ramai pemimpin akademik termasuk Prof Yusuf Ziya Ozcan, Presiden Majlis Pengajian Tinggi (setanding dengan Kementerian Pengajian Tinggi) dan Naib Rektor beberapa universiti ternama yang kebetulan pernah berkhidmat sebagai profesor di Malaysia. Merekalah yang memberi penjelasan dan jaminan kualiti mengenai pengajian tinggi Malaysia.

Kami juga sempat bertemu ibu bapa yang menghantar anak mereka belajar di Malaysia. Ketika ini jumlah pelajar Yaman melebihi 3,000 orang, sementara Arab Saudi 1,500 dan Turki 200 orang. Mereka nampaknya bukan saja berbangga menghantar anak belajar di Malaysia, bahkan dalam konteks Yaman dan Turki, membantu kami promosi mendapatkan lebih ramai pelajar menggunakan pelbagai saluran komunikasi, persatuan dan media massa.

Demikian sedikit sebanyak imej dan jenama Malaysia di tiga negara Asia Barat berkenaan. Lawatan singkat untuk mengiringi Khaled bertukar menjadi acara lawatan yang padat dengan layanan sebagai tetamu luar biasa meriahnya.

Sebabnya ialah Malaysia. Nama Malaysia menjadi sebutan dan ditelusuri dengan penuh minat. Perkembangan ini saya kemukakan dalam ruang ini kerana banyak inisiatif dan dasar yang dilaksanakan di Malaysia terbukti berjaya dan perlu difahami semua pihak. Negara lain bukan saja memerhati bahkan menaruh minat mempelajari model Malaysia, walaupun tidak ada universiti tempatan tersenarai di kalangan 50 terbaik dunia mengikut ranking dijalankan Times Higher Education Supplement (THES).

Sumber: Berita Harian (5 Jun 2009)

Posted by: khalednordin | June 5, 2009

Universiti Cerminan Satu Malaysia

010203

PADA 16 Mei lalu, saya berpeluang berucap pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kebangsaan untuk kali kedua sejak menjadi Menteri Pengajian Tinggi.

Ada pelbagai sebab mengapa saya mengambil perhatian yang sangat mendalam terhadap konvensyen ini.

Pertama, kerana ia merupakan himpunan besar-besaran para pemimpin pelajar dari seluruh negara. Kita mengharapkan mereka akan dapat berinteraksi, berbincang, berbahas dan memperkatakan tentang isu-isu semasa.

Kedua, kerana melalui konvensyen ini, sedikit sebanyak kementerian akan dapat menilai dan melihat sejauh mana kemajuan dalam soal membangun dan menjayakan pelajar-pelajar. Sama ada daripada sudut kefahaman mereka tentang kepimpinan dan lain-lain aspek pembangunan sahsiah pelajar.

Selain itu, kita juga ingin tahu apakah pandangan, cadangan, pembaikan dan sebagainya yang ingin dilontarkan oleh para pemimpin pelajar tersebut.

Saya percaya ia wajar dilaksanakan kerana pemimpin dari kalangan mahasiswa bukan calang-calang orangnya. Mereka terdiri daripada kalangan yang menjadi pemimpin, terpilih mewakili masyarakat mahasiswa yang berjumlah 280,000 orang.

Maka atas sebab itulah, pandangan, cadangan dan idea mereka merupakan sesuatu yang sangat penting dan akan diberi perhatian oleh Kementerian. Ia diharap mewujudkan persefahaman dan kerjasama di antara semua pihak – mahasiswa, universiti dan kementerian.

Negara kita kini menghadapi pelbagai cabaran, kesan daripada perubahan pesat di peringkat dunia. Kita sedar bahawa kita tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan kesan tersebut.

Tetapi persoalan yang mungkin tidak boleh dielak ialah sama ada kita semua bersedia untuk menghadapi perubahan daripada kesan krisis tersebut.

Maka dalam melihat kepada usaha menghadapi perubahan dan cabaran, kita akan terfikir mengenai bentuk masa depan. Paling penting, apakah kita mempunyai masa depan?

Apabila Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, perkara pertama dan paling utama dilontarkan oleh beliau ialah beberapa konsep dan pendekatan antaranya konsep Satu Malaysia.

Kepada para pelajar, bagaimanakah takrifan Satu Malaysia itu dapat diterjemahkan di peringkat IPT? Ini kerana, konsep itu merupakan landasan bagi memupuk perpaduan rakyat. Satu Malaysia berteraskan beberapa nilai penting yang wajar menjadi amalan setiap rakyat.

Kita sedar bahawa nilai-nilai penting yang menjadi kerangka bagi Satu Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, kerendahan hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan ataupun ilmu dan juga integriti merupakan nilai-nilai yang diharap menjadi pegangan dan juga amalan.

Bukan sahaja dalam usaha membawa perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat. Tetapi menjadi asas kepada usaha menjamin kestabilan dalam mencapai kemajuan dan pembangunan untuk rakyat dan negara.

Konsep Satu Malaysia menghargai dan menghormati identiti setiap kaum dan menganggapnya sebagai satu aset. Identiti yang berbeza itu dianggap sebagai satu aset dan asas utama konsep ini ialah keadilan untuk semua kaum. Dalam kata lain, nasib semua kaum akan dibela tanpa mana-mana pihak dipinggirkan. Dan mereka yang memerlukan pembelaan akan dibela tanpa mengira kaum atau agamanya.

Unik tentang konsep Satu Malaysia ini ialah, ia bukanlah satu konsep yang statik. Sebaliknya, ia adalah gagasan yang melalui proses evolusi dan akan memakan masa untuk menjadi realiti. Oleh kerana ia boleh berubah, maka ia boleh disesuaikan mengikut perkembangan semasa.

Maka disinilah sebenarnya pelajar IPT, sebagai pemimpin generasi akan datang, boleh turut serta memberi sumbangan terhadap idea Satu Malaysia.

Caranya ialah dengan memberi pandangan apakah akhirnya bentuk Satu Malaysia yang hendak kita lahirkan nanti.

Sebagai pelajar, saya percaya mahasiswa mempunyai kemampuan untuk membangkitkan kesedaran kebangsaan dalam usaha membangun dan menentukan survival bangsa dan negara.

Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya mencabar pelajar untuk turut serta mentakrif apa makna Satu Malaysia. Melaku dan mengamalkan nilai-nilai yang menjadi perkara teras itu.

Para pelajar ini adalah kumpulan yang berilmu dan matang. Kerajaan menyandarkan harapan agar mereka terus memainkan peranan yang lebih hebat dan mendalam dalam membangunkan negara.

Inilah cabaran yang paling utama kepada semua pelajar di institusi pengajian tinggi yang merupakan tempat berhimpunnya rakyat pelbagai kaum.

Dalam erti kata lain, universiti sebenarnya adalah satu cerminan kepada Satu Malaysia. Pemimpin-pemimpin pelajar perlu memainkan peranan untuk membangkitkan kesedaran nasional dan menentukan supaya Satu Malaysia ini difahami dan juga diamalkan.

Saya sebut diamalkan kerana kerangka lapan nilai atau teras Satu Malaysia itu sendiri mencerminkan nilai-nilai yang positif dan murni. Satu Malaysia bukan mengenai usaha menguar-uarkan slogan oleh mana-mana parti politik. Ia adalah satu seruan untuk memastikan kita terus hidup dan bertahan sebagai sebuah negara.

Cabaran negara ini pada masa-masa mendatang ialah satu perkara yang kita tidak boleh abaikan atau ketepikan. Sebaliknya kita mesti menjadi kuat dan mempunyai intipati yang betul untuk terus hidup dan bersaing. Ia penting untuk mengatasi apa jua cabaran.

Saya percaya para pelajar kita mampu untuk membangunkan satu cerminan dalam universiti mengenai konsep Satu Malaysia yang ditafsirkan sendiri menurut kaca mata mereka. Maka atas sebab itulah pada Konvensyen MPP yang lalu, saya mengumumkan bahawa satu pertandingan yang dinamakan Pertandingan Satu Malaysia@Kampus yang terbuka kepada IPTA dan IPTS yang terdapat dalam negara kita diadakan. Pertandingan ini terbuka kepada semua universiti yang mana saya berharap MPP setiap universiti akan menjadi peneraju dengan kerjasama dan dengan usaha, bantuan, sokongan daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti.

Saya berharap supaya setiap MPP dapat melahirkan blueprint masing-masing mengenai gagasan Satu Malaysia ini menurut kacamata mereka.

Kita akan memilih pemenang iaitu tiga dari IPTA dan dua dari IPTS untuk melaksanakannya di universiti masing-masing. Pihak kementerian akan menyediakan geran sebanyak RM30,000 bagi setiap pemenang untuk membolehkan blueprint mereka diterjemahkan di universiti masing-masing dalam bentuk pelaksanaan.

Dalam pertemuan dengan para pemimpin pelajar itu juga saya turut menjelaskan falsafah di sebalik konsep “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”. Pendekatan ini merupakan cara yang sememangnya dikehendaki oleh rakyat. Apatah lagi kita semua ingin sama-sama bertanggungjawab terhadap apa sahaja yang berlaku dalam negara kita pada hari ini.

Daripada sudut kerajaan dan juga KPT, sudah tentulah kita perlu melihat siapakah rakyat yang dimaksudkan. Di KPT selain ibu bapa, kerajaan dan masyarakat, rakyat bagi kita ialah para pelajar dan mahasiswa.

Dan pengharapan pelajar ialah untuk mereka mendapat ilmu dan institusi yang terbaik. Supaya apabila mereka keluar daripada universiti nanti akan berupaya mendapat pekerjaan.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan kemudahan, prasarana dan ruang terbaik serta peluang secukupnya untuk para pelajar kita cemerlang.

Pada masa sama, kerajaan, rakyat, masyarakat dan ibubapa juga mempunyai harapan terhadap pelajar. Iaitu supaya mereka benarbenar dapat menguasai ilmu dan menjadi pemimpin di masa depan. Mereka boleh menjadi penentu di masa akan datang.

Cemerlang dalam mengejar ilmu pengetahuan, mempunyai sifat-sifat dan ciri yang boleh membentuk mereka menjadi minda kelas pertama. Mempunyai kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah – sesuai sebagai pemimpin masa hadapan dan penentu masa hadapan negara.

Bagi kementerian dan kerajaan, kita akan terus melabur untuk memberi masa depan yang sempurna kepada pelajar agar menjadi warga yang berguna pada masa kini dan juga pada masa akan datang.

Sebab itulah kita melihat kepada pembangunan pelajar secara menyeluruh. Serta turut melihat kepada soal kemahiran softskill yang akhirnya akan dapat memberi tambah nilai untuk mereka mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Pengharapan yang diletakkan ke atas para pelajar kita sangatlah tinggi. Kerana kepada merekalah kita sandarkan harapan untuk melahirkan pemimpin masa hadapan negara.

Oleh yang demikian, mereka menjadi aset negara yang paling utama. Merekalah yang akan menentukan masa depan negara. Untuk itu, mereka harus berketerampilan, mempunyai daya saing, kreatif dan inovatif. Bukan semata-mata untuk menjadi golongan yang berilmu dan bijaksana tetapi juga merupakan golongan intelektual yang mampu berfikir dan dapat menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan juga ketamadunan bangsa dan juga negara.

Sebagai generasi pelapis yang akan mengambil alih kepimpinan negara dan sebagai golongan modal insan yang paling berharga, para pelajar kita tidak ada pilihan selain menentukan mereka juga dapat memenuhi pencapaian dan prestasi yang tinggi.

Sama seperti mereka mengharapkan kepada kerajaan ataupun pendidik agar dapat melaksanakan tanggungjawab untuk mereka sebagai pelajar.

Sebab itulah, dalam soal ini para mahasiswa perlu meletakkan prestasi akademik sebagai satu keutamaan yang paling penting. Berusaha dan beriltizam setiap masa untuk mencapai prestasi yang baik serta bersaing secara sihat dalam mengejar ilmu.

Sudah tentulah dalam usaha mengejar ilmu, menghayati ketinggian ilmu dan mengamalkan pencapaian dalam segenap aspek kehidupan semasa di kampus, maka saya percaya para pelajar kita akan benar-benar dapat memenuhi harapan yang diletakkan oleh negara, kerajaan, kementerian, universiti dan juga oleh golongan akademik yang menjadi pendidik mereka selama ini.

Jika kita semua faham peranan dan tanggungjawab dan berusaha melaksanakannya, maka kita akan dapat menjayakan aspirasi negara.

Barulah kita boleh katakan bahawa negara akan terus bersedia menghadapi segala cabaran dan juga persaingan pada hari ini mahupun di masa-masa akan datang.

Posted by: khalednordin | June 3, 2009

Sekitar Lawatan ke Yemen

Lawatan rasmi saya dan rombongan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Yemen bermula pada hari Isnin dengan perjumpaan bersama Menteri Pengajian Tinggi Yemen, Dr. Saleh Ali Basrah.  Pertemuan itu menjurus kepada kandungan dan perlaksanaan perjanjian persefahaman (MoU) di antara kerajaan Malaysia dan Yemen, meliputi hal-hal pengajian tinggi serta dalam bidang kemahiran vokasional dan teknikal.  KPT bukan sahaja telah menandatangani MoU bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik Yemen, malah turut memetrai persefahaman dengan Kementerian Pendidikan Teknikal dan Vokasional negara tersebut.

Antara peluang atau potensi yang kedua-dua buah negara telah kenal pasti termasuk:

  1. Malaysia membantu kerajaan Yemen mempertingkat kapasiti kemahiran teknikal dan vokasional mereka bertujuan untuk menambah jumlah pelajar dari Yemen melanjutkan pegajian tinggi mereka ke Malaysia;
  2. Pertukaran tenaga kepakaran yang mana kerajaan Yemen menawarkan kepakaran ilmu pengajian Islam kepada Malaysia; dan
  3. Malaysia pula menawarkan kepakaran pensyarah teknikal untuk membangunkan sektor pengajian tinggi di Yemen.

Ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech (Twintech Technology International University) atas kejayaan mereka membuka kampus baru mereka di Yemen.  Ini merupakan bukti kemampuan IPT negara untuk turut bersaing di peringkat antarabangsa, selain pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan Yemen terhadap keupayaandan potensi IPT Malaysia untuk menyumbang membangunkan lagi sektor pendidikan di Yemen. Diharapkan kerjasama strategik yang terjalin ini akan terus mengukuhkan hubungan antara kedua buah negara.

Dalam perjalanan terbang ke Yemen juga (dari Arab Saudi), saya bersama rombongan sempat meluangkan masa bertemu dengan rakyat Malaysia yang kini berada di Mesir.  Pertemuan ini adalah bersama-sama dengan pegawai-pegawai Konsulat dan Kedutaan Malaysia, Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) serta para pelajar yang kini menuntut di sana.  Walaupun singkat, saya merasakan perjumpaan tersebut adalah amat bermakna. Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat rakyat Malaysia kita di sana sentiasa menjaga nama baik dan maruah negara.

Saya kini berada di China mengikuti rombongan Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak dan delegasi.

Older Posts »

Categories