Posted by: khalednordin | June 3, 2009

Sekitar Lawatan ke Yemen

Lawatan rasmi saya dan rombongan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Yemen bermula pada hari Isnin dengan perjumpaan bersama Menteri Pengajian Tinggi Yemen, Dr. Saleh Ali Basrah.  Pertemuan itu menjurus kepada kandungan dan perlaksanaan perjanjian persefahaman (MoU) di antara kerajaan Malaysia dan Yemen, meliputi hal-hal pengajian tinggi serta dalam bidang kemahiran vokasional dan teknikal.  KPT bukan sahaja telah menandatangani MoU bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik Yemen, malah turut memetrai persefahaman dengan Kementerian Pendidikan Teknikal dan Vokasional negara tersebut.

Antara peluang atau potensi yang kedua-dua buah negara telah kenal pasti termasuk:

  1. Malaysia membantu kerajaan Yemen mempertingkat kapasiti kemahiran teknikal dan vokasional mereka bertujuan untuk menambah jumlah pelajar dari Yemen melanjutkan pegajian tinggi mereka ke Malaysia;
  2. Pertukaran tenaga kepakaran yang mana kerajaan Yemen menawarkan kepakaran ilmu pengajian Islam kepada Malaysia; dan
  3. Malaysia pula menawarkan kepakaran pensyarah teknikal untuk membangunkan sektor pengajian tinggi di Yemen.

Ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech (Twintech Technology International University) atas kejayaan mereka membuka kampus baru mereka di Yemen.  Ini merupakan bukti kemampuan IPT negara untuk turut bersaing di peringkat antarabangsa, selain pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan Yemen terhadap keupayaandan potensi IPT Malaysia untuk menyumbang membangunkan lagi sektor pendidikan di Yemen. Diharapkan kerjasama strategik yang terjalin ini akan terus mengukuhkan hubungan antara kedua buah negara.

Dalam perjalanan terbang ke Yemen juga (dari Arab Saudi), saya bersama rombongan sempat meluangkan masa bertemu dengan rakyat Malaysia yang kini berada di Mesir.  Pertemuan ini adalah bersama-sama dengan pegawai-pegawai Konsulat dan Kedutaan Malaysia, Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) serta para pelajar yang kini menuntut di sana.  Walaupun singkat, saya merasakan perjumpaan tersebut adalah amat bermakna. Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat rakyat Malaysia kita di sana sentiasa menjaga nama baik dan maruah negara.

Saya kini berada di China mengikuti rombongan Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak dan delegasi.


Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: