Posted by: khalednordin | June 24, 2009

Mathematics, Mathematics Education and Mathematicians

Pagi Selasa semalam saya berkesempatan hadir ke PWTC untuk merasmikan 5th Asian Mathematical Conference 2009.  Persidangan yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Sains Matematik Malaysia (Malaysian Mathematical Sciences Society), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Matematik Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berjaya menarik para penyelidik dan ahli matematik dari negara-negara Asia untuk sama-sama berkumpul di bawah satu platform di Malaysia, bersempena dengan persidangan yang julung-julung kali diadakan di negara kita.  Saya pasti persidangan kali ini akan sekali lagi menjadi medan terbaik untuk para mathematician serantau untuk membina jalinan kolaboratif serta mengukuhkan hubungan sedia ada antara mereka, dalam mencari formula, penemuan serta penyelesaian terbaru mengikut kehendak dan keperluan kepakaran terkini, khusus dalam bidang Matematik.

Semua sedar dan tidak dapat menafikan akan kepentingan, sumbangan serta peranan penting yang telah dimainkan oleh bidang Matematik selama ini.  Matematik sebagai sebuah subjek teras dalam kehidupan telah membolehkan pelbagai ciptaan, penemuan teknologi, pembaharuan aplikasi dan inovasi, yang membantu memudahkan lagi kehidupan seharian manusia.  Namun demikian saya berpendapat, masih ada beberapa cabaran dan halangan yang memerlukan perhatian semua.  Pertamanya dalam pendidikan Matematik, adalah menjadi satu cabaran untuk menjadikan subjek ini sebagai sebuah subjek yang menarik untuk dipelajari, baik di semua peringkat pengajian.  Ini kerana kemahiran, pengetahuan serta manfaat yang diperolehi daripada mempelajari subjek Matematik menjadi asas untuk seseorang itu menguasai beberapa subjek lain termasuk Sains dan sebagainya.  Tahap penguasaan (competency) dalam Matematik akan menjadi lebih kritikal apabila seseorang itu melanjutkan pengajian dalam bidang yang memerlukan asas kemahiran dan pengetahuan Matematik sebagai pra-syarat seperti jurusan ekonomi, statistik, kejuruteraan dan lain-lain.

Selain daripada itu, berdasarkan kepada keperluan serta kehendak teknologi yang semakin merumitkan (complicated), dunia atau lebih khusus industri sentiasa memerlukan pakar aplikasi sains matematik untuk memenuhi keperluan mendesak tersebut.  Oleh itu, keperluan kepada graduan yang pakar dalam bidang ini adalah dirasakan sangat penting, selain ianya merupakan salah satu cabaran kepada pihak universiti untuk dilaksanakan.  Saya menyarankan agar pendekatan yang lebih proaktif dapat sama-sama difikirkan untuk menghadapi situasi dan cabaran ini.

Semoga persidangan yang sedang berlangsung pada kali ini akan mencapai matlamat serta objektif penganjurannya.  Ucapan tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan penganjuran kali kelima Asian Mathematical Conference di Malaysia pada tahun ini adalah yang terbaik pernah dianjurkan.


Leave a comment

Categories