SIDANG MEDIA OLEH

Y.BHG PROF DATO’ DR. IR. RADIN UMAR RADIN SOHADI

KETUA PENGARAH JABATAN PENGAJIAN TINGGI (JPT) KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA

BERHUBUNG ISU DAN MASALAH KEMASUKAN KE

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)

ISNIN, 1HB JUN 2009

1.  Berhubung dengan kejadian yang berlaku semalam (iaitu pada 31hb Mei 2009) di kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, sukalah saya nyatakan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat kesal dengan apa yang telah berlaku dan berjanji akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memperbaik dan juga menambahbaik sistem kemasukan yang sedia ada.

2.  Menteri Pengajian Tinggi, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah pun mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa siasatan bebas pada hari ini.  Jawatankuasa ini diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi, Y.Berusaha Tuan Haji Omar untuk menyiasat dan mengenalpasti sebab-sebab berlakunya kesilapan teknikal tersebut.

3.  Skop penyiasatan akan melihat dari segi sistem, human error dan juga perkara-perkara lain yang boleh menyebabkan kejadian tersebut berlaku yang telah menyebabkan 4,574 daripada mereka yang layak secara pra-jaya, sepatutnya tidak menerima tawaran.  Ini kerana apa yang berlaku pada setiap tahun, bilangan yang memohon dan layak mendapat tempat di IPTA adalah jauh melebihi kapasiti ataupun tempat yang disediakan oleh IPTA.

4.  Dalam konteks USM pula, sebanyak 22,000 telah mengemukakan permohonan kemasukan.  Daripada jumlah itu, seramai 8,173 telah disenarai pendek dan hanya 3,599 adalah layak dan ditawarkan tempat mengikut merit yang dilaksanakan oleh USM. Ini bermakna hanya 3,599 pelajar yang sepatutnya menerima tawaran tersebut tetapi disebabkan oleh apa yang berlaku, mereka yang layak secara pra-jaya telahpun juga ditawarkan dalam sistem web USM. Walaubagaimanapun, kesilapan teknikal tersebut  kini telah dibetulkan oleh pengurusan USM.

5.  Apa yang akan dilihat oleh jawatankuasa siasatan juga adalah untuk melihat bagaimana perkara tersebut boleh berlaku tetapi yang lebih pentingnya apakah langkah-langkah penambahbaikan, corrective dan preventive action/measure yang akan dilaksanakan supaya kejadian sedemikian tidak akan berlaku lagi.

6.  KPT telah memberi tempoh 1 minggu mulai hari ini untuk jawatankuasa siasatan tersebut menyiapkan laporan lengkap dan menyerahkannya kepada Y.B Menteri.  Hasil siasatan dan kajian tersebut akan diguna pakai sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenai permasalahan ini.

7.  Ingin dimaklumkan juga bahawa proses kemasukan pelajar ke 19 IPTA yang lain masih sedang berjalan.  Setakat ini, Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU), Jabatan Pengajian Tinggi telah menerima sebanyak 61,027 permohonan daripada calon STPM, Matrikulasi dan setaraf dengannya ke dalam sistem yang KPT guna pakai.  Jumlah ini termasuk permohonan ke USM kerana pihak KPT membenarkan double application untuk tahun ini. Bagi mereka yang berjaya melanjutkan pengajian mereka ke USM tetapi menolak tawaran kerana mungkin tidak mendapat pilihan pertama mereka sebaliknya mereka dapat pilihan kedua atau ketiga, pelajar berkenaan mempunyai hak untuk menolak.

8.  Jadi setiap pelajar yang tidak berjaya ataupun menolak tawaran, pelajar tersebut akan ditimbangkan semula ke dalam sistem UPU untuk diproses kemasukannya ke 19 IPTA lain.

9.  Jadi apa yang KPT akan laksanakan ialah apabila proses pemilihan ini berjalan ia akan mengikut sistem merit, meritrokasi yang sebagaimana telah ditetapkan dalam pengambilan pelajar.  Kita menjangkakan bahawa keputusan untuk kemasukan ke IPTA akan diumumkan pada minggu ketiga bulan Jun dan sasarannya ialah pada Jumaat, 19 Jun 2009.  Selain itu calon-calon boleh juga menyemak melalui keputusan kemasukan mereka melalui sistem sms, helpline, hotline dan sebagainya.

10. Jadi, Insyaallah tidak akan timbul isu di mana akan ada yang tercicir tetapi apa yang berlaku nanti ialah semua akan melalui sistem meritokrasi kerana memang tiap-tiap tahun akan ada bilangan pelajar yang layak tetapi tempat yang agak terhad.  Jadi untuk berlaku adil kepada semua calon, KPT akan menggunakan sistem meritokrasi sebagaimana yang diumumkan terdahulu.

Advertisements
Posted by: khalednordin | June 1, 2009

Sekitar Lawatan ke Arab Saudi

Lawatan ke Arab Saudi yang bermula hari Rabu lalu kini telah berakhir.  Saya kini berada di Yemen untuk meneruskan lawatan kerja rasmi ke negara-negara tersebut, sebelum bertolak ke China bagi mengikuti lawatan rasmi Y.A.B Perdana Menteri ke sana.  Lawatan ke Arab Saudi, Yemen dan Turki turut dihadiri oleh beberapa Naib Canselor termasuk Y.Bhg Prof Dato’ Dr Ir Zaini Ujang dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Y.Bhg Prof Dato’ Dr Noh Dalimin dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).  Beberapa pegawai dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga turut terlibat menyertai lawatan saya pada kali ini.

Lawatan ke Arab Saudi antara lain telah membuka satu lagi dimensi baru kepada sektor pengajian tinggi negara.  Perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Taibah University dan UTM merupakan inisiatif terbaru yang dibuat oleh UTM bagi meningkatkan hubungan antarabangsa universiti tersebut.  Menerusi perjanjian ini, kedua-dua institusi pengajian tinggi ini telah bersetuju untuk mewujudkan satu program pertukaran tenaga pengajar dan para penyelidik mereka.  UTM antara lain telah menandatangani kontrak rundingcara untuk menjalankan kajian dan penyelidikan bagi memajukan teknologi perbekalan air dari sumber bawah tanah di Kota Madinah, selain kerjamasa pembangunan kajian strategik dalam bidang bioteknologi dan kejuruteraan alam sekitar.

Saya merasakan usaha dan kerjasama ini merupakan satu pengiktirafan di peringkat antarabangsa mengenai kemampuan, keupayaan dan potensi institusi-institusi pengajian tinggi yang dimiliki negara.  Kemampuan dan keupayaan IPT Malaysia dalam bidang kajian penyelidikan serta pembangunannya adalah sesuatu yang perlu terus dipertingkat dari semasa ke semasa.  Ianya mendatangkan banyak manfaat dan kebaikan kepada sektor pengajian tinggi negara kita termasuk;
(i)    meningkatkan lagi potensi penyelidikan dan kepakaran teknikal IPTA tempatan;
(ii)    menyumbang kepada sumber pendapatan baru bagi universiti; dan
(iii)    apa yang paling penting adalah mampu merealisasikan usaha pengantarabangsaan (internationalisation) pengajian tinggi Malaysia.

Harapan saya semoga kerjasama serta jalinan strategik yang telah termetrai kelak mencapai objektif dan matlamatnya.

Posted by: khalednordin | May 26, 2009

Lawatan ke UPNM

Semalam saya telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).  Selain berpeluang mendengar taklimat mengenai perkembangan dan pencapaian terkini universiti, saya turut berkesempatan meluangkan masa bertemu dengan para pelajar universiti tersebut.  Walaupun ini merupakan kali pertama lawatan saya ke UPNM, ianya bukanlah lawatan kali yang terakhir.  Masih banyak aspek dan perkara yang saya komited untuk beri perhatian kepada universiti ini, bagi membantu meningkatkan lagi kecemerlangannya sebagai sebuah institusi ilmu.

Keunikan dan kekuatan yang dimiliki oleh UPNM adalah sesuatu yang menarik perhatian saya. Sebagai satu-satunya universiti pertahanan di negara ini, UPNM bukan sahaja perlu memenuhi kriteria serta syarat sesebuah institusi pengajian tinggi, tetapi turut perlu memenuhi keperluan dan kehendak sektor pertahanan negara.  Ini merangkumi aspek graduan UPNM yang lebih 80% daripadanya terdiri daripada pegawai kadet.  Mereka secara automatik akan diserap masuk ke dalam perkhidmatan tentera sebaik sahaja berjaya menamatkan pengajian mereka di UPNM.  Oleh itu, adalah merupakan satu cabaran untuk pihak universiti melahirkan  graduan kadet yang betul-betul berwibawa, berketrampilan, mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi, selari dengan matlamatnya iaitu melahirkan generasi ‘Intellectual Leaders of Character’.

Adalah menjadi hasrat dan harapan saya agar UPNM mampu untuk muncul sebagai sebuah universiti pertahanan yang unggul di negara ini.  Sememangnya menjadi iltizam dan keazaman saya untuk terus membantu meningkatkan kemampuan universiti ini, agar ianya dapat menyumbang kepada kedua-dua sektor pengajian tinggi dan pertahanan negara pada masa akan datang.

Posted by: khalednordin | May 26, 2009

Tahniah kepada penerima Anugerah Penggawa Gemilang 2009!

May 26th, 2009 - Majlis Anugerah Penggawa

Sabtu lalu saya sempat meluangkan masa memenuhi jemputan ke Majlis Anugerah Penggawa Gemilang 2009, anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Timur, Masai.  Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima anugerah pada hari tersebut, yang bukan sahaja terdiri daripada para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM, malah turut terdiri daripada guru-guru yang telah menunjukkan pencapaian membanggakan di sekolah tersebut.

Saya merasakan majlis anugerah seperti ini berjaya menyuntik semangat motivasi baru di kalangan para pelajar dan guru-guru.  Selain daripada itu, ianya turut berjaya menerapkan budaya kecemerlangan serta persaingan sihat di kalangan mereka sebagai suntikan semangat untuk mereka terus berusaha mencatatkan pencapaian yang lebih membanggakan pada masa akan datang.  Ianya selaras dengan nilai-nilai Budaya Kecemerlangan dan Meritokrasi seperti yang telah digariskan dalam konsep Satu Malaysia oleh Y.A.B Perdana Menteri.

Seperkara lagi yang saya ingin nyatakan ialah mengenai kepentingan kecemerlangan pelajar di peringkat sekolah.  Saya melihat para pelajar yang mempunyai rekod cemerlang sejak dari peringkat sekolah akan lebih cemerlang apabila mereka berada di institusi pengajian tinggi. Pencapaian cemerlang mereka di peringkat sekolah bukan sahaja mampu menjamin peluang yang lebih cerah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, seterusnya menjadikan impian kerjaya mereka satu realiti.

Harapan saya semoga lebih banyak pelajar dan guru yang akan berjaya merebut Anugerah Penggawa Gemilang pada penganjurannya tahun hadapan.  Kepada pihak sekolah, saya berharap pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan selama ini dapat terus dikekal dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Posted by: khalednordin | May 26, 2009

Dari Bilik Berita: Insentif khas untuk pensyarah IPT

Tenaga pengajar digalak guna kreativiti hasil karya inovatif dan buat penyelidikan

PELABUHAN KLANG: Kerajaan bercadang menyediakan insentif khas kepada pensyarah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang menggunakan kreativiti dan lebih berinovasi seperti menghasilkan buku, membuat penyelidikan dan pembangunan serta penulisan dalam jurnal.

Menteri Pengajian Tinggi, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah gaji yang diterima pensyarah di IPTA ketika ini adalah munasabah dan tidak boleh dibandingkan dengan kenaikan gaji guru berikutan skop kerja yang berbeza.

“Kita akan mulakan kajian apakah insentif sesuai kepada pensyarah yang boleh memenuhi kehendak universiti,” katanya mengulas rungutan pensyarah yang mahu kerajaan menimbang kenaikan gaji mereka.

Sumber: Berita Harian (26hb Mei 2009)

Posted by: khalednordin | May 20, 2009

K3G – Terima Kasih Semua

May 15th, 2009 - 01

Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) yang berakhir pada Ahad lepas telahpun dianjurkan dengan sempurna. Alhamdullilah, saya amat gembira dan berpuas hati dengan sambutan dan penganjuran K3G 2009. Ini merupakan kali pertama penganjuran K3G yang mana ia bukan sahaja telah berjaya menarik hampir 300,000 pengunjung, malah ianya turut berjaya menawarkan lebih 14,000 pekerjaan kepada para graduan sepanjang 3 hari ianya berlangsung.

K3G merupakan inisiatif daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu para graduan mendapatkan pekerjaan selain menyediakan peluang-peluang keusahawanan dan perniagaan untuk mereka. Ianya telah menggabungkan dua konsep pekerjaan iaitu Kerjaya dan Keusahawanan, dan ini merupakan pendekatan berlainan yang diambil oleh pihak Kementerian bagi memberikan lebih kepelbagaian pilihan kepada para graduan. Ianya dibuat kerana menyedari bahawa keusahawanan merupakan salah satu peluang kerjaya pilihan untuk graduan.

Untuk makluman semua, terdapat pelbagai lagi usaha yang sedang dirancang dan giat dilaksanakan oleh pihak Kementerian dalam memastikan agar aspek Kebolehpasaran Graduan ini betul-betul membuahkan hasil. Selain ianya telah digariskan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) sebagai salah satu di antara 18 agenda kritikal PSPTN, penumpuan kepada pengisian dan pelaksanaan aspek tersebut akan terus diberi penekanan oleh KPT. Sebagai sasaran, pihak Kementerian komited untuk berusaha menurunkan peratusan graduan IPT yang menganggur di samping usaha berterusan untuk melengkapkan diri mahasiswa dan graduan dengan kemahiran-kemahiran insaniah dan ciri-ciri ideal seorang graduan. K3G ini antara lain merupakan salah satu pengisian kepada aspek Kebolehpasaran Graduan tersebut.

Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada para pengunjung dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran dan kesempurnaan program K3G ini. Harapan saya semoga penganjurannya pada tahun hadapan akan terus diberi sambutan menggalakkan dari semua.

Statistik K3G 2009:

Jumlah pengunjung: 297,688
Jumlah syarikat terlibat: 615
Jumlah kerja ditawarkan: 14,053
Jumlah resume dihantar: 208,239

Dalam majlis Perhimpunan Bulanan KPT 5hb Mei yang lalu, saya ada menjelaskan mengenai slogan ‘Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan’ dalam konteks Pengajian Tinggi negara. Jadi, dalam pengisian blog saya pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan semua mengenai terjemahan dan definisi slogan ini khusus dalam konteks Pengajian Tinggi negara.

Bagi pihak Kementerian, Rakyat dan Prestasi adalah 2 perkara asas yang sangat berkaitan dan saling lengkap-melengkapi. Mendahulukan rakyat adalah matlamat utama dan terpenting kerana dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita, pemimpin dipilih oleh rakyat dan sewajarnya pemimpin mengabdikan diri untuk memperjuangkan kepentingan rakyat. Justeru sewajarnyalah kepentingan rakyat diutamakan daripada lain-lain kepentingan.

RAKYAT DIDAHULUKAN

Apakah maksud rakyat didahulukan? Pertamanya, siapakah rakyat dalam konteks Pengajian Tinggi? Ini perlu diperjelaskan supaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sendiri mengetahui dengan jelas sasaran yang hendak ditujui. Bagi KPT, terdapat empat stakeholders yang merupakan ‘RAKYAT’nya, iaitu:

1. Ibubapa;
2. Pelajar;
3. Orang ramai; dan
4. Kerajaan.

Seterusnya apakah yang hendak didahulukan untuk rakyat KPT? Dari perspektif KPT, perkara yang hendak didahulukan boleh dilihat dari segi pengharapan (expectation). Apakah pengharapan rakyat? Pengharapan ini pula boleh dilihat dalam dua bentuk, iaitu pengharapan berbentuk am dan pengharapan berbentuk khusus.

Pengharapan Am ini termasuk:

1. Pengharapan mendapat Pendidikan yang bermutu;
2. Pengharapan agar Graduan mudah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian;
3. Pengharapan agar Graduan menghayati nilai-nilai murni sejagat; dan
4. Pengharapan agar Negara mempunyai daya saing dan daya produktiviti yang tinggi.

Manakala Pengharapan Khusus adalah termasuk:

1. Pengharapan ibubapa yang mana
• Pengharapan agar anak-anak mereka diberi pendidikan yang bermutu;
• Pengharapan agar anak-anak mereka memperolehi pekerjaan sebaik sahaja bergraduat;
• Pengharapan keselamatan dan kesejahteraan anak mereka terpelihara ketika di bawah jagaan KPT; dan
• Pengharapan agar anak-anak mereka menjadi manusia yang baik.

2. Pengharapan pelajar pula adalah
• Pengharapan agar mereka memperolehi pendidikan yang bermutu dari institusi yang mereka belajar;
• Pengharapan agar tenaga pengajar adalah berkaliber, penuh dedikasi dan berkemampuan memberi pengajaran yang bermutu dan berkesan; dan
• Pengharapan agar Institusi di mana mereka belajar memberi pengalaman yang menyeluruh, bermakna dan bermanfaat.

3. Pengharapan kerajaan (sebagai Custodian OF PUBLIC INTEREST) ialah
• Pengharapan KPT menghasilkan institusi yang bertaraf dunia;
• Pengharapan KPT menghasilkan graduan yang berketerampilan, berdaya saing, creative dan innovative;
• Pengharapan KPT menghasilkan graduan yang mampu meningkatkan daya saing dan produktiviti negara; serta
• Pengharapan KPT untuk sentiasa perihatin terhadap wish list rakyat serta menjadikan pengharapan rakyat sebagai pengisiannya.

PRESTASI DIUTAMAKAN

Slogan “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan” juga bererti membina jambatan antara Impian dan Amalan (bridging dreams and deeds). Memang benar terdapat selama ini banjiran kenyataan Impian, tetapi ketandusan dari segi amalan.

Maka wajar sekalilah ungkapan “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan” dizahirkan serentak dan senada untuk menekankan bukan sahaja impian, bahkan juga amalan adalah sama penting. Ianya bermaksud mengotakan apa yang telah dikatakan. Justeru prestasi menjadi KPI yang amat penting bagi mengukur pencapaian tersebut.

Seperti mana yang telah saya umumkan bersempena dengan majlis tersebut juga, KPI untuk Kementerian Pengajian Tinggi adalah termasuk:

1. Pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN);
2. Pendemokrasian Pengajian Tinggi Negara;
3. Pengantarabangsaan; dan
4. Pembangunan Pelajar.

Oleh yang demikian, saya secara peribadi ingin menyatakan iltizam dan kesungguhan saya untuk memastikan hasrat dan matlamat slogan ‘Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan’ sama-sama dapat dijayakan.

Posted by: khalednordin | May 20, 2009

Saranan kepada mahasiswa sempena Konvensyen MPP IPTA 2009

Konvensyen MPP IPTA 2009

Pada Sabtu lepas saya telah sempat meluangkan masa berkunjung ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor untuk bertemu dengan barisan pemimpin pelajar, bersempena dengan Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2009. Konvensyen yang setiap tahun diadakan ini antara lain bermatlamat untuk memberi pendedahan kepada kepimpinan mahasiswa dari seluruh IPT mengenai aspek-aspek kepimpinan, selain membuka ruang dan platform kepada mereka untuk sama-sama berbincang, melontarkan pandangan serta idea dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin pelajar.

Sesungguhnya konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Y.A.B Perdana Menteri juga tidak terkecuali untuk sama-sama diterjemahkan oleh para pemimpin mahasiswa IPT. Ini lantaran dalam kehidupan harian, suasana dan persekitaran kampus di universiti bolehlah dianggap sebagai sebuah microcosm atau cerminan kepada sebuah wilayah atau negara.

Tambahan pula, saya juga berpendapat slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah selari dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin mahasiswa. Dalam menterjemahkan slogan ini pula, pertamanya, seseorang pemimpin mahasiswa itu sendiri perlu mengenalpasti siapakah ‘rakyat’ dalam konteks mereka sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Dengan mengenalpasti ‘rakyat’ tersebut, maka adalah diharap penekanan serta penumpuan dapat diberikan kepada aspek pencapaian dan prestasi sebagai langkah seterusnya. Ianya juga merupakan penterjemahan dalam melaksanakan tanggungjawab seseorang pemimpin pelajar. Saya juga yakin, sebagai pemimpin pelajar yang mempunyai ilmu, matang serta berani berdepan dengan dugaan dan cabaran, para pemimpin mahasiswa sudah bersedia untuk membincangkan isu-isu yang lebih besar, soal-soal membangunkan negara bangsa yang kelak akan menentukan masa hadapan negara serta memastikan survival dan kelangsungan negara ini.

Harapan saya agar konvensyen tersebut telah memberi sedikit sebanyak pendedahan dan pengalaman berguna kepada pemimpin pelajar terlibat. Diharapkan juga semoga segala perbincangan, perdebatan dan juga pandangan yang telah diperolehi sepanjang konvensyen tersebut dapat terus dihayati, selaras dengan usaha pembangunan pelajar secara holistik.

Posted by: khalednordin | May 20, 2009

KPT perkenal pertandingan 1Malaysia@Kampus

Konsep 1Malaysia akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) negara menerusi satu pertandingan yang dinamakan 1Malaysia@Kampus.

Menteri Pengajian Tinggi, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi pertandingan ini, para pemimpin pelajar melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) akan diminta menyediakan blueprint mengenai gagasan 1Malaysia yang pada pandangan mereka sesuai dilaksanakan di kampus masing-masing.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua universiti awam dan swasta dalam negara .

”Sebuah jawatankuasa khas yang baru dibentuk akan menilai dan memilih lima cadangan terbaik iaitu tiga dari IPTA dan dua dari IPTS sebagai pemenang,” katanya.

Menurut Khaled, pengumuman mengenai pertandingan 1Malaysia@Kampus disampaikan ketika berucap di hadapan lebih 500 pemimpin pelajar IPT awam dan swasta dalam Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar IPT Malaysia yang ketiga di Universiti Tun Hussein Onn di Batu Pahat Sabtu lalu.

Katanya, pihak kementerian telah memperuntukkan geran berjumlah RM150,000 untuk pertandingan tersebut.

Setiap pemenang katanya, akan menerima RM30,000 untuk melaksanakan konsep 1Malaysia menurut model yang para pelajar kehendaki di universiti mereka.

“Dalam pertemuan dengan wakil- wakil pelajar di Batu Pahat Sabtu lalu, saya telah nyatakan kepada mereka bahawa universitilah sebenarnya yang patut menjadi cerminan model 1Malaysia.

”Inilah masanya untuk mereka menterjemahkan 8 kerangka teras dalam 1Malaysia sebagai asas untuk mewujudkan 1Malaysia seperti mana yang mereka inginkan di universiti.

“Dan dalam pertandingan ini, MPP akan menjadi peneraju program 1Malaysia@Kampus dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti masing-masing,” ujarnya lagi.

Menurut Khaled, sebuah jawatankuasa bebas akan dibentuk untuk menilai cadangan 1Malaysia@Kampus yang dikemukakan oleh setiap MPP.

Katanya, sesuatu yang unik mengenai konsep 1Malaysia ini ialah ia tidak bersifat statik sebaliknya ia adalah satu konsep yang melalui proses evolusi.

“Maka dalam mengajak semua pihak untuk turut terlibat mengkaji dan membuat cadangan, saya mahu para pelajar di universiti secara serius mengambil bahagian.

”Mereka boleh memainkan peranan dengan memberi pandangan tentang 1Malaysia dan bagaimana ia patut diterjemahkan dan seboleh bolehnya dalam apa jua keadaan akhirnya melalui universitilah konsep 1Malaysia itu akan dapat ditonjolkan,” tegas beliau.

Sumber: Utusan Malaysia (19hb Mei 2009)

Posted by: khalednordin | May 12, 2009

Tahniah Roboforce 1!

robocon

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pasukan Roboforce 1 dari Universiti Multimedia (MMU) kerana telah berjaya muncul sebagai juara dalam pertandingan akhir ROBOCON Peringkat Kebangsaan 2009, semalam.  Kejayaan ini saya pasti merupakan berkat kesungguhan serta kerja keras para pelajar itu sendiri dalam memastikan kejayaan adalah menjadi milik mereka. Tahniah ROBOFORCE 1!! 

Untuk makluman semua, pasukan Roboforce 1 MMU akan mewakili Malaysia ke pertandingan ABU Asia Pacific Robot Contest 2009 yang akan diadakan pada bulan Ogos nanti, di Tokyo, Jepun.  Saya turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Roboforce dalam membuat segala persiapaan bagi menghadapi dugaan yang lebih mencabar di Tokyo nanti.  

 Sememangnya pertandingan seumpama ini amat saya galakan.  Selain ianya menguji bakat kreativiti dan mencungkil daya inovasi peserta, ini juga merupakan manifestasi keupayaan dan kemampuan pelajar-pelajar IPT tempatan bersaing dalam bidang teknologi robot dan inovasi.  Pertandingan ini juga menepati pengisian salah satu agenda kritikal Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu Teras Pembangunan Pelajar Holistik (Holistic Student Development) yang mempunyai 8 teras:

  1. Kepimpinan dan Latihan;
  2. Keusahawanan;
  3. Daya usaha inovasi;
  4. Sukan;
  5. Debat;
  6. Kebudayaan;
  7. Sukarelawan; dan
  8. Kaunseling dan Kerjaya.

 Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan saya kepada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MoSTI), Radio Televisyen Malaysia (RTM), SIRIM Berhad dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan penganjuran ROBOCON tahun ini.  Semoga matlamat dan objektif pertandingan tercapai dengan jayanya.

« Newer Posts - Older Posts »

Categories