Posted by: khalednordin | June 21, 2009

Tahniah kepada semua yang berjaya

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya mendapatkan tempat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di IPTA seluruh negara.  Kejayaan melanjutkan pengajian ke menara gading merupakan antara impian para pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan, dalam proses merealisasikan impian dan cita-cita hidup masing-masing.  Sudah tentu kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih tanpa rasa jemu anda semua, dalam mencapai kejayaan dan kecemerlangan semasa di peringkat sekolah.  Kejayaan anda semua juga semestinya merupakan kebanggaan ibu-bapa dan keluarga yang selama ini telah menjadi pendorong utama untuk anda terus melakar kejayaan pada masa akan datang.

Kementerian Pengajian Tinggi sememangnya mengalu-alukan kedatangan saudara-saudari untuk melanjutkan pengajian di universiti seluruh negara bermula penghujung bulan ini.  Adalah menjadi komitmen dan kesungguhan pihak Kementerian dan universiti pilihan anda untuk memberikan pendidikan yang berkualiti, menyediakan persekitaran kampus yang kondusif untuk para pelajar menuntut ilmu, serta ruang dan peluang untuk anda semua menimba pengalaman dalam usaha membangunkan lagi diri sebagai seorang individu terpelajar.  Sudah pastinya semua, termasuk saya sendiri mahu melihat graduan atau produk yang lahir dari sesebuah universiti itu merupakan seorang individu yang bukan sahaja cukup dengan ilmu dan pengalaman, malah turut dilengkapi dengan sifat keperibadian yang murni serta ciri-ciri ideal seorang graduan.  Sudah semestinya harapan dan hasrat anda semua, termasuk ibu bapa serta keluarga akan menjadi agenda keutamaan universiti dan pihak Kementerian sendiri.

Sememangnya adalah menjadi hasrat saya kepada mereka yang berjaya untuk sentiasa bersungguh-sungguh, menanam iltizam dan keazaman yang tinggi untuk terus berjaya dalam mengejar cita-cita dan impian masing-masing.  Manfaatkan peluang dan ruang yang telah tersedia di IPTA kelak dengan sebaik mungkin bagi mencipta kejayaan yang akan menjadi kebanggaan diri dan keluarga, insyaAllah.


Leave a comment

Categories