Posted by: khalednordin | July 6, 2009

Sekitar lawatan ke Paris

July_6th,_2009_-_Paris_081

Pada pagi Ahad, saya telah selamat sampai di Paris untuk memulakan lawatan rasmi selama 4 hari di sini.  Lawatan ini adalah sempena menghadiri persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh UNESCO iaitu “2009 World Conference on Higher Education: The New Dynamics of Higher Education and Research for Societal Change and Development”.  Delegasi Malaysia pada kali ini turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Y.Bhg Datuk Dr Zulkefli A. Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Y.Bhg Prof Dato’ Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Y.Bhg Dato’ Dr Syed Ahmad Hussein; dan juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM).

Persidangan kali ini telah berjaya mengumpulkan lebih 700 delegasi dari negara-negara ahli UNESCO, termasuk 60 Menteri yang bertanggungjawab terhadap pelajaran dan pengajian tinggi negara-negara terlibat.  Delegasi dan perwakilan negara-negara tersebut adalah terdiri daripada kepimpinan kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi dan civil society.  Isu serta perbincangan dalam persidangan kali ini juga merangkumi pelbagai aspek, fokus serta penumpuan dalam usaha untuk memastikan peranan dan tanggungjawab pendidikan adalah untuk terus membawa perubahan kepada dunia sejagat, selain sebagai jalan penyelesaian kepada isu global pada masa kini.   

Dalam ucapan pembukaan Ketua Pengarah UNESCO, Mr Koichiro Matsuura beliau telah menggariskan 4 kedinamikan yang berlaku dalam dunia pengajian tinggi pada hari ini.  Ianya termasuk:

  1. Mempercepat permintaan terhadap pengajian tinggi (Accelerating demand for higher education);
  2. Kepelbagaian sumber (Diversification of resources);
  3. Penggunaan serta aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam semua aspek pendidikan; dan
  4. Globalisasi.

Saya berpendapat bahawa keempat-empat aspek kedinamikan di atas adalah saling berkait rapat dan memerlukan perhatian segera oleh semua pihak terlibat.  Malaysia juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan kedinamikan dan senario pengajian tinggi yang sedang melanda pada masa kini.  Oleh yang demikian, hasil daripada persidangan kali ini antara lain diharap akan menjadi rujukan dan inspirasi berguna kepada Malaysia untuk sama-sama diaplikasi dan diadaptasi dalam sektor pengajian negara.

Diharapkan juga persidangan penting pada kali ini bukan sahaja mampu mengukur tahap keberkesanan negara-negara terlibat dalam pelaksanaan dasar dan polisi pendidikan negara masing-masing, malah persidangan ini juga diharap dapat menentukan serta mengukur tahap kesediaan, kemampuan negara-negara tersebut untuk menghadapi kedinamikan dan cabaran yang sedang dihadapi dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi pada masa ini.


Leave a comment

Categories