Posted by: khalednordin | June 5, 2009

Dunia Iktiraf Mutu Universiti Malaysia

Oleh:  Prof Dato’ Dr Ir Zaini Ujang (Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia)

ACARA lawatan rasmi Menteri Pengajian Tinggi, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin ke Arab Saudi dan Yaman bermula Khamis minggu lalu menyerlahkan lagi imej Malaysia pada mata masyarakat Asia Barat. Selain acara padat termasuk kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Yaman, sesi perbincangan dua hala dengan beberapa Menteri Kabinet dan pemimpin akademik, Khaled dan rombongan turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembabitan serta komitmen universiti Malaysia pada tahap membanggakan.

Antara lain Khaled merasmikan cawangan Universiti Antarabangsa Teknologi Twintech di Sana’a, Yaman yang sudah memulakan program akademik sejak empat bulan lalu. Selain itu, Khaled turut mengunjungi Universiti Sains dan Teknologi Yaman yang menyediakan program akademik membabitkan 16 pensyarah dari Malaysia.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula secara rasmi menandatangani perjanjian menjalankan penyelidikan bersama Universiti Taibah, Madinah untuk menyelesaikan masalah peningkatan air bawah tanah di sekitar Masjid Nabawi.

Di Arab Saudi, tumpuan ialah kerjasama program penyelidikan dan pengajian ijazah lanjutan. Selain itu, UTM turut menandatangani perjanjian menempatkan pensyarah cuti sabatikal untuk membantu membangunkan program akademik di Universiti King Abdul Aziz kampus baru di Rabigh, selain bekerjasama dengan Universiti Taibah menjalankan sembilan penyelidikan dalam bidang bioteknologi, teknologi maklumat dan teknologi nano.

Pembabitan Malaysia di Yaman pula bertumpu kepada kerjasama membangunkan keupayaan bidang pendidikan teknikal dan kerjasama akademik pelbagai peringkat. Ketika berucap menerima kunjungan hormat dari Malaysia, Perdana Menteri Yaman, menyatakan pengiktirafan negaranya kepada Malaysia sebagai negara model di kalangan negara Islam yang membangun tanpa menyisihkan budaya rakyat terutama ajaran agama dan budaya bangsa.

Lawatan itu berjaya memberi lebih ruang kepada Malaysia untuk menawarkan kepakaran dalam bidang akademik kepada negara yang memerlukan. Ketika berbincang dengan beberapa orang Naib Canselor atau Rektor negara itu, saya dapat memahami betapa selama ini mereka hanya menumpu ke Barat untuk kemajuan akademik.
Hakikatnya walaupun hampir 30 tahun dasar menghantar pelajar dan bekerjasama dengan universiti terpilih khususnya di Amerika Syarikat dan Britain, hasilnya tidaklah memberangsangkan. Malah, mereka masih mengalami kesukaran untuk membentuk kerangka dan model sesuai dengan unsur tempatan dari segi pembangunan negara dan perkembangan akademik.

Inilah kelebihan Malaysia. Sebagai negara pesat membangun, Malaysia sebenarnya tidak jauh ketinggalan dalam bidang akademik berbanding negara maju. Hal ini diakui sendiri Naib Rektor Universiti Taibah, Profesor Talal Helawani pada sidang media ketika rangka lawatan ke beberapa makmal termaju di UTM pada Februari lalu.

Hal ini perlu diambil perhatian kerana beliau mempunyai pengalaman luas sesuai dengan peranannya sebagai ahli panel majlis penyelidikan strategik Arab Saudi yang mengadakan kerjasama dan terbiasa dengan kebanyakan universiti ternama dunia. Itulah juga antara faktor UTM dipilih bekerjasama dengan universiti Arab Saudi, selain puluhan universiti ternama dunia khususnya dari Amerika Syarikat.

Saya menyebutkan hal ini kerana sejak kebelakangan ini wujud semacam keresahan beberapa pihak terhadap keupayaan universiti tempatan. Hal ini mungkin ada kaitan dengan kedudukan universiti tempatan dalam ranking dunia dan keluhan segelintir pihak terhadap kemahiran insaniah di kalangan graduan tempatan.
Saya tidak berhasrat bersikap defensif apatah lagi apologetik. Namun, sentimen keresahan dan kurang yakin itu banyak dipengaruhi tanggapan umum kurang adil yang perlu diperjelaskan. Barangkali penjelasan ini bukan secara lisan apatah lagi menyalahkan kaedah sistem ranking. Hemat saya penjelasan itu perlu dilakukan menerusi hebahan perkembangan semasa dan program praktikal seperti dilakukan Khaled dan rombongan di Arab Saudi dan Yaman.

Mahu tidak mahu, kita perlu akur bahawa universiti kita sudah menjadi alternatif kepada universiti berjenama di negara Barat di kalangan negara membangun. Ramai ibu bapa mula menaruh minat untuk menghantar anak belajar di Malaysia.

Selepas ke Arab Saudi dan Yaman, saya dan rombongan ke Turki untuk menandatangani perjanjian pertukaran staf dan program penyelidikan dengan tiga universiti termasuk yang tertua di Asia Barat, iaitu Universiti Istanbul dan Universiti Teknikal Istanbul serta Universiti Fatih.

Kesediaan mereka bekerjasama dengan Malaysia tidak lain kerana mutu pengajian di universiti tempatan setanding dengan negara maju. Ini diakui ramai pemimpin akademik termasuk Prof Yusuf Ziya Ozcan, Presiden Majlis Pengajian Tinggi (setanding dengan Kementerian Pengajian Tinggi) dan Naib Rektor beberapa universiti ternama yang kebetulan pernah berkhidmat sebagai profesor di Malaysia. Merekalah yang memberi penjelasan dan jaminan kualiti mengenai pengajian tinggi Malaysia.

Kami juga sempat bertemu ibu bapa yang menghantar anak mereka belajar di Malaysia. Ketika ini jumlah pelajar Yaman melebihi 3,000 orang, sementara Arab Saudi 1,500 dan Turki 200 orang. Mereka nampaknya bukan saja berbangga menghantar anak belajar di Malaysia, bahkan dalam konteks Yaman dan Turki, membantu kami promosi mendapatkan lebih ramai pelajar menggunakan pelbagai saluran komunikasi, persatuan dan media massa.

Demikian sedikit sebanyak imej dan jenama Malaysia di tiga negara Asia Barat berkenaan. Lawatan singkat untuk mengiringi Khaled bertukar menjadi acara lawatan yang padat dengan layanan sebagai tetamu luar biasa meriahnya.

Sebabnya ialah Malaysia. Nama Malaysia menjadi sebutan dan ditelusuri dengan penuh minat. Perkembangan ini saya kemukakan dalam ruang ini kerana banyak inisiatif dan dasar yang dilaksanakan di Malaysia terbukti berjaya dan perlu difahami semua pihak. Negara lain bukan saja memerhati bahkan menaruh minat mempelajari model Malaysia, walaupun tidak ada universiti tempatan tersenarai di kalangan 50 terbaik dunia mengikut ranking dijalankan Times Higher Education Supplement (THES).

Sumber: Berita Harian (5 Jun 2009)


Responses

  1. salam dato..

    1)saya ingin kepastian tentang projek2 dalam rancangan malaysia ke 9 dan 10.Adakah ada peruntukan atau cadangan untuk pembinaan hospital universiti untuk universiti yang menawarkan kursus perubatan?

    2)kenapakah kementerian pendidikan tinggi tidak mengambil alih bahagian matrikulasi yang sekrang ini berada di bawah kementerian pelajaran?


Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: